IPOH – Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas tiga ekor daging rusa sambar daripada tiga lelaki dipercayai pemburu haram di Hutan Simpan Amanjaya di KM69 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini, hari ini.
Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian itu sebelum enam anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di kawasan itu serta menahan lelaki berumur lingkungan 40-an, pada 3.45 pagi.
“Ketika serbuan, tiga lelaki berkenaan sedang memasukkan daging rusa yang telah siap dilapah di belakang kenderaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, beberapa barangan lain turut dirampas iaitu 16 butir peluru pelbagai jenama, sebilah pisau dan sebuah buku lesen senjata api.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki dari Kelantan itu ditahan di Balai Polis Gerik untuk siasatan lanjut.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Katanya, rusa sambar merupakan binatang yang dilindungi dan adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa mengambil atau memburunya tanpa lesen sah.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak daging haiwan itu dijual untuk pasaran tempatan dengan harga antara RM40 dan RM60 sekilogram, katanya.
Ditanya mengenai perkembangan kegiatan memburu secara haram di hutan simpan di Perak, Rozidan berkata ia masih berlaku dan kebanyakannya memburu rusa dan kijang. – BERNAMA

