KUALA NERUS – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah pemikiran yang dibawa oleh kumpulan ekstrem agama seperti Daesh hendaklah ditangani segera.
Titah baginda, kumpulan ekstremis berkenaan tidak boleh dibiarkan berleluasa di negeri ini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan huru-hara dan ketegangan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Sukacita beta mengingatkan bahawa jawatankuasa fatwa negeri Terengganu yang bersidang pada 10 Jun lepas, telah memutuskan bahawa kumpulan Daesh dan kumpulan militan lain yang membawa ideologi keganasan, melakukan pembunuhan radikal dan ekstrem, adalah haram kerana bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis penutup majlis tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu malam tadi.
Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Sehubungan itu Sultan Mizan bertitah, tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah atau ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong perjuangan kumpulan pengganas itu adalah sia-sia.
Baginda berkata ini kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut hukum syarak.
Titahnya ini disebabkan ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafir serta menghalal darah umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.
Sutlan Mizan bertitah, Daesh juga dilabel oleh para ulama Ahli Sunnah di seluruh dunia sebagai kaum Khawarij di zaman moden dan mengingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propagandanya.
Titah baginda, kini kumpulan itu sedang giat menjalankan aktiviti dengan menyebarkan ideologinya dan merekrut pengikut baru dalam kalangan belia melalui saluran media sosial yang dilihat semakin agresif.
“Oleh itu beta menyeru semua umat Islam di Terengganu sama ada pihak berkuasa, guru-guru, ibu bapa serta anggota keluarga hendaklah memainkan peranan masing-masing dan membuat pemantauan serta saling ingat-mengingati agar tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan kumpulan itu,” titahnya.
Pada tilawah kali ke-59 itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Nur Janah Abdul Rahman, kedua-duanya dari daerah Kuala Nerus muncul juara Qari dan Qariah, dengan memenangi hadiah masing-masing RM8,000, sijil, piala pusingan dan piala iringan.
Mereka berdua akan mewakili Terengganu ke tilawah peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada 21 Mac ini.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi yang bertugas di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketika ditemui berkata, beliau akan memperbaiki bacaannya terutama dari segi pernafasan sebelum bertanding di peringkat kebangsaan nanti.
“Bacaan saya agak semput kerana masalah pernafasan. Saya akan memperbaikinya sebelum tilawah peringkat kebangsaaan bermula,” katanya yang berasal dari Kampung Bukit Tunggal.
Nur Janah yang merupakan guru al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong pula berazam untuk membuat persiapan rapi dengan membaiki mutu bacaan dalam masa yang singkat ini.
Seramai 12 peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada tilawah peringkat negeri itu yang bermula Selasa lepas. – BERNAMA

