SEREMBAN – Pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Negeri Sembilan bakal menjadi kenyataan setelah permohonan itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya pada ketika ini sedang meneliti satu tempat yang sesuai untuk pembinaan pusat tersebut bagi menyediakan perkhidmatan berpusat kerajaan.
“Penubuhan perkhidmatan ini sangat penting kerana ia dapat menjimatkan kos dan masa pengguna supaya mereka tidak perlu lagi singgah di satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta.
“Apabila kita dirikan pusat perkhidmatan ini, ia akan meletakkan kesemua urusan rasmi di satu kawasan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Exco Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, UTC yang beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam ini dapat mengelakkan warga kerja daripada mengambil cuti atau pun tidak hadir kerja semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu urusan.
“Kita dapat lihat bahawa UTC yang telah dibina di beberapa negeri lain mendapat sambutan yang amat positif dalam kalangan pengguna,” katanya. – BERNAMA