FERRARI bukanlah calang=calang kenderaan. Jika ia kelihatan seperti terlalu mewah pada masa kini, begitulah juga ia pada era 50-an dan 60-an, bahkan mungkin lebih mewah.
Ini kerana, Ferrari di Amerika Syarikat pada waktu itu hanya dihasilkan setelah mendapat pembeli, oleh itu setiap kereta Ferrari dari setiap segi mencerminkan citarasa pemiliknya.
Dahulu pembuatan kereta bukanlah satu industri seperti yang kita kenali sekarang. Apatah lagi bagi segmen yang lebih mewah, di mana setiap kereta yang terhasil lebih menepati citarasa pembeli secara individu. Konsep ini masih hidup sehingga hari ini, tetapi khusus kepada model-model yang sangat premium; di mana setiap bahagian kereta dapat dipilih dengan teliti, daripada warna sehinggalah ke bahan yang digunakan.

Sempena menyambut ulangtahun ke 60 ketibaan Ferrari ke Amerika Syarikat, maka terhasillah model F60A. Hanya 10 unit akan dibuat (dan kesemuanya sudah pun mempunyai pembeli).  Dikuasakan oleh enjin V12 yang dimuatkan ke bahagian depan-tengah kereta ini, kelajuan 0-100km/sj dapat dibuat dalam masa 3.1 saat!
Memetik portal drebar.my, walaupun sangat eksklusif, jelas sekali ia menggunakan badan model F12 Berlinetta dengan enjin 12-silinder Ferrari yang menghasilkan lebih dari 700hp.

Bezanya F60A ini adalah sebuah cabriolet, di mana bumbungnya adalah diperbuat daripada kain. Menariknya, ‘bumbung’ ini hanya sesuai digunakan sehingga kelajuan 120km/sj. Disebabkan tidak mempunyai bumbung kukuh, kereta ini diberikan sepasang ‘roll-hoop’ yang kelihatan begitu menawan bukan sahaja daripada kontra warnanya (roll-hoop itu sendiri mendapat trim gentian karbon manakala warna kereta pula mendapat inspirasi daripada pasukan lumba Amerika Utara klasik), tetapi juga kerana bentuknya yang menjalar dari belakang kerusi hinggalah ke bahagian belakang F60A ini.
Siapalah agaknya 10 pemilik Ferrari F60A ini kan? :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA

