KUALA LUMPUR – Kawasan perlombongan bauksit di Pahang yang kini gersang boleh digunakan semula dalam tempoh dua tahun menerusi tindakan pemuliharaan berkesan bagi mengembalikan struktur tanah dan galian di kawasan terlibat, kata seorang pakar kawalan hakisan dan mendapan.
Naib Presiden Pertubuhan Saliran Mesra Alam Malaysia Datuk Ir Ahmad Fuad Embi percaya menerusi tindakan pemuliharaan berkesan, kawasan perlombongan bauksit hampir seluas 1,200 hektar di Bukit Goh, Kuantan boleh digunakan untuk penanaman semula kelapa sawit.
“Ladang-ladang kelapa sawit (yang ditukar menjadi kawasan perlombongan bauksit oleh pemilik tanah) boleh dipulihkan dan ditanam semula dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada Bernama di luar satu forum perlombongan lestari baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai laporan bahawa pemulihan kawasan perlombongan bauksit di Pahang akan mengambil masa yang panjang, Ahmad Fuad berkata: “Saya percaya kawasan berkenaan boleh dipulihkan jika ia (proses pemuliharaan) dibuat dengan betul. Sekurang-kurangnya kita cuba, kalau kita tak cuba, kita tak tahu…”
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) itu berkata tapak lombong itu tidak seharusnya ditinggalkan atau dibiarkan sebegitu sahaja kerana ia boleh mengakibatkan hakisan berterusan, menjadikannya kawasan berbatu tanpa mengandungi apa-apa untuk pertumbuhan tanaman, manakala landskapnya berlubang dan curam serta berbahaya.
“Adakah kita mahu landskap sebegini terus memenuhi 1,200 hektar? Tanah seluas itu yang hanya tinggal batu bagaikan padang pasir kerana tidak akan ditumbuhi sebarang pokok sekiranya tidak direhabilitasi… lainlah kalau kita mahu tunggu 50 tahun lagi, ia tumbuh secara semula jadi,” katanya.
PULIHKAN KEMBALI
Perlombongan bauksit, yang digunakan dalam pengeluaran aluminium, meningkat dengan ketara di Pahang sejak pertengahan 2014 berikutan permintaan tinggi dari China selepas Indonesia mengharamkan pengeksportan bahan galian itu. Tahun lepas, penduduk di kawasan berkenaan mengeluh dan mendesak perlombongan bijih itu dihentikan kerana ia mengganggu rutin harian dan megakibatkan pencemaran sehingga air di beberapa sungai dan pantai di Kuantan bertukar merah.
Kerajaan memutuskan moratorium selama tiga bulan yang bermula 15 Jan tahun ini bagi membolehkan satu pelan penyelesaian pencemaran akibat perlombongan bauksit. Semua kegiatan perlombongan dan pengangkutan bauksit dihentikan pada tempoh itu.
Ahmad Fuad berkata sekiranya langkah rehabilitasi efisien tidak dilakukan, pemilik tanah bakal berhadapan dengan masa depan yang amat suram kerana tapak perlombongan mineral yang tandus itu tidak akan membawa sebarang erti lagi.
Beliau berkata tanah paling atas (top soil) yang telah dikorek sebelum ini perlu diletakkan kembali ke tempat asalnya bagi menggalakkan pertumbuhan tanaman semula.
Sekiranya ‘top soil’ sudah tiada, boleh gunakan komponen bio seperti kompos dan sungkupan (compost and mulch) sebagai gantian mineral bagi menyuburkan semula tanah berkenaan.
“Kawasan berkenaan juga perlu diratakan dan ditanam dengan rumput atau tumbuhan yang bersesuaian sebelum menanam semula pokok,” katanya.
BELANJA BESAR
Ahmad Fuad mengakui langkah pemuliharaan akan memakan belanja yang amat besar dan sukar, namun ia harus dilakukan dan kerajaan perlu bersikap lebih tegas dengan meminta pemilik tanah dan juga pelombong membiayai urusan rehabilitasi tanah masing-masing.
“Adalah tidak adil jika menggunakan dana awam untuk tujuan rehabilitasi itu, sedangkan pemilik tanah sendiri yang membenarkan tanah mereka digali secara haram.
“Pelombong haram sudah lari, maka pemilik perlu bertanggungjawab pulihkan tanah masing-masing. Ada penduduk yang mendapat sehingga RM1juta daripada pelombong maka kenapa tidak mereka keluarkan RM50,000 contohnya, untuk langkah pemuliharaan tanah sendiri?,” katanya.
Ahmad Fuad turut menegaskan bahawa adalah penting untuk kerajaan memperkenalkan ‘Pelan Kawalan Mendapan dan Hakisan’ bagi memastikan perlombongan bauksit dilakukan secara lestari selain terus mengawal selia industri berkenaan.
Kawalan ini termasuklah mewajibkan lori yang membawa bauksit melalui jalan berbatu kerikil yang dikhaskan, stok simpanan dipindahkan ke pelabuhan pemuatan menggunakan tali sawat penyampai.
Kawasan perlombongan juga hendaklah mempunyai zon penampan yang mengandungi pokok dan tumbuh-tumbuhan lain serta kolam pemendapan untuk menakung air bawaan tanah, katanya.
ANALISIS AIR DAN HIDUPAN LAUT
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Dr Maketab Mohamad, yang membentangkan kertas kerja di forum berkenaan, berkata meskipun perlombongan haram ditamatkan, tidak bermakna pencemaran yang berlaku turut berakhir.
“Hujan masih membawa pencemaran masuk ke dalam sungai dan seterusnya ke laut… mendapan logam berat akan bertambah dan menjadi meta merkuri. Apabila berlaku biokumulasi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, ia akan menjejaskan rantaian makanan termasuk ikan dan kerang-kerangan,” katanya.
Justeru, kata beliau, adalah penting pensampelan kualiti air dilakukan dengan lebih kerap iaitu pada setiap bulan termasuk terhadap air mentah di kawasan terjejas bauksit dan juga air yang diperoleh penduduk.
“Logam berat yang mendap di dalam air juga perlu dianalisis menggunakan peralatan lebih canggih, yang boleh memberikan keputusan berdasarkan sukatan bahagian per laksa/trilion (parts per trillion – ppt) dan bukan hanya diukur dalam bahagian per sejuta (ppm atau mg/L) pada pada masa ini. (which can give results at parts per trillion (ppt) instead of just parts per million (ppm or mg/L) as of at the present time.)
“Selain itu analisis terhadap ikan dan kerang-kerangan sama ada di air tawar atau air laut perlu dilakukan secara bulanan… setiap keputusan juga wajar diumumkan kepada rakyat sejurus dikeluarkan,” katanya.
TERLALU SINGKAT
Felo Penyelidik Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – Institut Antarabangsa Kesihatan Global (UNU-IIGH), Prof Dr Jamal Hisham Hashim berkata tempoh moratorium selama tiga bulan terlalu singkat untuk memulihkan kawasan-kawasan yang dicemari bauksit lebih dua tahun.
Beliau berkata aspek kesihatan masyarakat di situ hendaklah diberi perhatian memandangkan tapak perlombongan bauksit tidak terletak di kawasan terpencil, malah ada yang berada di belakang rumah penduduk.
Katanya bahan-bahan logam berat yang terkandung di dalam debu halus mudah menyerap melalui pernafasan, malah apabila mencemari sistem sungai, ia boleh berkumpul dan masuk ke dalam loji rawatan air.
“Kita bertuah kerana setakat ini kita tidak mempunyai kadar pencemaran yang tinggi atau elemen toksik di dalam air minuman, tetapi keadaan ini boleh berubah kerana terdapat sesetengah perkara yang di luar kawalan kita.
“Kalau dibiarkan berterusan, kita mungkin akan terkejut dengan keadaan yang lebih berbahaya … sebab itulah kita perlu lakukan rehabilitasi (terhadap kawasan perlombongan) dan memperbetul apa yang telah berlaku,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]XRloRy9pErw[/wpdevart_youtube]