KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini memohon prosiding kes saman ke atasnya oleh sebuah pertubuhan dan tiga yang lain berkaitan rampasan vape milik anggota pertubuhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor.
Peguam Fadhil Ihsan, mewakili MBJB selaku defendan memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes itu disebut dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara dengan dihadiri peguam Zulhasmi Zakaria, mewakili Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas) selaku plaintif.
Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Norhasmanita Abdul Manap bertindak bagi pihak Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Ketua Polis Negara.
Fadhil berkata pihaknya memfailkan permohonan itu pada Isnin lepas dengan alasan tindakan menyerbu dan merampas peranti, mod dan cecair perisa vape berlaku di Johor Bahru.
“Perkara yang diadukan (saman) pun berlaku di Johor Bahru dan bagi tujuan keadilan, perkara ini patut didengar di kawasan itu,” katanya dan menambah kebanyakan saksi utama berhubung tuntutan saman itu turut berada di Johor.
Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 28 Mac ini untuk mendengar permohonan tersebut dan mengarahkan pihak defendan supaya tidak perlu memfailkan pernyataan pembelaan sehingga permohonan memindahkan kes itu selesai.
Sementara itu, Zulhasmi berkata pihaknya mengetahui mengenai permohonan MBJB itu semalam.
Pada 28 Dis tahun lepas, Ikhlas memfailkan saman itu terhadap keempat-empat defendan susulan operasi bersepadu pihak berkuasa berkenaan pada 15 Dis 2015, yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa anggota Ikhlas di premis perniagaan di Johor yang di bawah pentadbiran MBJB, hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Ikhlas memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan kesemua defendan menyerbu dan merampas rokok elektronik terdiri daripada peranti, mod dan cecair perisa milik anggota pertubuhannya, adalah tidak sah, salah dan batal.
Mereka juga memohon deklarasi mahkamah supaya pengharaman vape melalui penguatkuasaan peringkat negeri terutama melalui pihak berkuasa tempatan, MBJB adalah ultra vires dan bertentangan dengan undang-undang.
Ikhlas mendakwa sehingga kini, tiada apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas anggotanya, yang didakwa kononnya melanggari Akta Racun 1952 atas dakwaan cecair perisa vape mengandungi racun terkawal nikotin atau mengandungi dadah terlarang, yang dinafikan pertubuhan itu.
Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta, faedah serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]lEuvvgPwL60[/wpdevart_youtube]

