PUTRAJAYA – Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya (PIHABF) ke-8 bulan depan, akan menjadikan ruang udara pusat pentadbiran persekutuan ini, meriah dan beraneka warna dengan kehadiran belon berbentuk haiwan.
Antara tarikan pada pesta tiga hari itu yang bermula 11 Mac, ialah belon berbentuk udang kara dikenali sebagai ‘Bobo the Happy Lobster’, Belon Lebah dan Belon ‘Mister Z The Zebra’.
Bobo the Happy Lobster akan diterbangkan Geert Van Wolvelaer dari Belgium; Belon Lebah (Francisco Naccarato dari Brazil) dan belon Mister Z The Zebra oleh Jonathan Wright dari Amerika Syarikat.
Selain belon berbentuk haiwan, belon ‘Alien Rocket’ – yang akan diterbangkan Alain Bard dari Kanada – akan membuat penampilan sulungnya pada pesta itu, serta melakukan penerbangan pertamanya di Asia.
“PIHABF kali ini akan memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk mengenali belon dengan lebih dekat,” kata pengerusinya Mohammed Sobri Saad pada sesi taklimat media di sini Selasa.
Beliau berkata kemampuan padang pelancaran akan ditambah sekali ganda, manakala acara ‘Night Glow’ juga diadakan.
Katanya sesi yoga dan zumba pula didakan pada sebelah pagi bersempena pertunjukan belon itu.
Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail dalam ucapannya berkata fiesta itu pada tahun lepas menarik lebih 300,000 pengunjung, manakala jumlah pada tahun ini dijangka lebih 500,000 orang. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]184_kvjSmQ0[/wpdevart_youtube]