PROTON Holding Berhad hari ini memperlihatkan logo harimau baharu syarikat itu menerusi laman Facebook rasmi mereka.
Logo terbaharu tersebut dilihat lebih menonjolkan elemen tiga dimensi yang didatangkan khas dengan tagline yang lebih segar - It’s in the Drive!.

Menurut mereka, logo tersebut memperlihatkan era baharu Proton, yang mana merupakan satu janji, sikap dan komitmen baharu syarikat tersebut kepada semua pengguna.
Seperti sebelum ini, logo baharu Proton turut didominasi dengan elemen kepala harimau yang dilakar di dalam bulatan  dan lambangnya pula berwarna hitam dan perak.
Walau bagaimanapun, perkataan “PROTON†telah dibuang, dan kepala harimau telah diposisikan sedikit tinggi.
Malah bulatan tersebut juga lebih nipis agar menonjolkan impak yang lebih 3 dimensi.
Proton turut mengesahkan logo baharu ini akan ditampilkan pada semua model baharu dan facelift pada masa yang akan datang.
Sudah pasti Perdana 2016 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan menjadi model pertama yang ditampilkan dengan logo baharu ini.
Ia bakal disusuli dengan model Saga dan Persona edisi 2016 yang akan dilancarkan pada tahun ini juga.
Menurut ura-ura pihak industri, dikhabarkan Proton juga akan membawa masuk Suzuki Ertiga yang akan diperkenalkan semula melalui kerjasama antara Proton dan Suzuki. – MYNEWSHUB.CC


