SINGAPURA – Produk kecantikan Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block keluaran syarikat dari Malaysia, Vida Beauty masih lagi sedang disiasat oleh Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA).
Republik itu belum melarang penjualannya waima dua buah negara jirannya iaitu Malaysia dan Brunei baru-baru ini sudah pun berbuat demikian kerana didapati mengandungi kandungan raksa yang agak tinggi.
Ia dinyatakan menerusi jawapan HSA dalam responsnya kepada agensi berita tempatan Mediacorp Singapura melalui kiriman e-mel ekoran kebimbangan pengguna mengenai tahap keselamatan dua produk itu.
Di bawah Undang-Undang Produk Kesihatan (Produk Kosmetik – Direktif Kosmetik ASEAN) Singapura, syarikat pengimport perlu memaklumkan kepada HSA tentang produk kosmetik mereka sebelum menjualnya.
Ini bagi memudahkan pemeriksaan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa Singapura sendiri ke atas produk tersebut sekiranya timbul sebarang isu kebimbangan serius terhadap keselamatan pengguna tempatan.
HSA juga menasihati pengguna agar berhati-hati apabila membeli produk kosmetik, lebih-lebih lagi jenis yang didakwa agak keterlaluan atau menawarkan ‘jalan pintas’ bagi merawat masalah kecantikan.
Pengguna domestik juga dinasihati supaya lebih berwaspada terhadap produk kosmetik terutama diimport yang didapati tidak mempunyai label kandungan jelas atau senarai bahan-bahan ramuan digunakan.
Singapura terkenal amat ketat dalam membenarkan produk import khasnya makanan, malah bukan pelik pemerintah republik itu menyekat kemasukan barangan luar negara yang gagal mematuhi piawaian.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Brunei mengarahkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block dihentikan penjualannya serta-merta.
Kedua-dua negara tersebut mengarahkan dua produk Qu Puteh keluaran syarikat terkenal Vida Beauty dihentikan jualannya serta merta kerana mengandungi racun berjadual merkuri pada paras tinggi.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA


