SUNGAI PETANI – Seorang pemuda berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 14.5 Jalan Sungai Petani – Kuala Ketil, dekat sini kira-kira pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Afiq Aiman Daud, 20, berasal dari Taman Sidam Kiri, di sini.
“Kejadian dipercayai berlaku sewaktu kenderaan pacuan empat roda dari arah Sungai Petani menuju Kuala Ketil, memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan motosikal dinaiki mangsa.
“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Md Zukir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

