CANTIK, ceria dan mempunyai ramai kawan, Athena Orchard hidup seperti kanak-kanak berusia 12 tahun yang lain di Leicester, United Kingdom.
Namun, hidupnya berubah 180 darjah apabila beliau menemui ketumbuhan di dalam tempurung kepalanya.
Athena cuba untuk tidak mempedulikan keadaan yang dihadapinya, sehinggalah pada satu hari beliau jatuh pengsan di dapur rumahnya dan dibawa ke hospital apabila keluarganya diberitahu bahawa gadis sunti itu menghidapi ketumbuhan di bahagian tulang belakangnya daripada komplikasi kanser tulang.
Berita itu ternyata mengejutkan ibu bapanya, termasuk adik-beradik Athena seramai 9 orang itu. Keluarga besar itu terpaksa akur dengan takdir dan segera lakukan pembedahan untuk membuang tumor tersebut.

Setelah berbulan-bulan terlantar di katil hospital oleh kerana sel kanser yang semakin agresif merebak di dalam tubuh kecilnya, keadaan Athena semakin lemah dan rambut yang dahulunya panjang mengurai sudahpun gugur daripada rawatan kemoterapi yang dilakukan.
Walaupun begitu, Athena masih mengekalkan sikap berfikiran positif yang sama sewaktu beliau masih sihat dan ceria.
Akhirnya, sejurus selepas sambutan hari lahirnya yang ke-13, Athena meninggal dunia dengan dikelilingi oleh ahli keluarganya.
Beberapa hari selepas kematian Athena, bapanya telah menemui sebuah catatan rahsia yang ditulis mendiang anaknya sewaktu lelaki itu sedang sibuk menyimpan barang-barang kepunyaan anak perempuannya.

Athena telah menulis satu nota panjang yang ditampal di belakang cermin bilik tidurnya.
Bapa Athena mula membaca catatan Athena itu, namun terpaksa berhenti kerana terlalu sedih. Antara bait-bait perkataan yang ditulis gadis pintar itu adalah:
(Kebahagiaan ditentukan oleh diri kita sendiri. Mungkin ianya bukan sekadar pengakhiran yang menggembirakan, tetapi keseluruhan isi ‘cerita’ itu sendiri.
Makna hidup adalah kehidupan yang bermakna. Perbezaan di antara ‘biasa’ dan ‘luar biasa’ adalah hanya satu patah perkataan.
Kebahagiaan adalah satu perjalanan, bukan destinasi. Berterima kasih atas kewujudan anda. Bergembiralah, bebaskan diri, percaya, muda selamanya.
Kamu hanya tahu nama aku, bukan hidup aku. Kamu hanya mendengar apa yang aku pernah lakukan, tetapi bukan apa yang telah aku lalui. Cinta adalah seperi cermin; indah pada luarannya, namun mudah retak.
Setiap hari adalah istimewa, jadi gunakanlah kehidupan ini sepenuhnya. Kehidupan hanya akan menjadi buruk jika kamu sendiri yang menjadikannya begitu.
Cinta adalah sesuatu yang jarang berlaku, hidup ini aneh, tiada satu pun yang akan bertahan dan manusia sentiasa berubah. Kehidupan ini hanyalah sebuah permainan, dan kasih sayang adalah hadiahnya.”)
(Jika seseorang itu benar-benar menyayangi kamu dia tidak akan lepaskan kamu walau bagaimana payah pun situasi itu. Ingatlah bahawa kehiupan ini ada turun naiknya dan hidup tidak akan bermakna tanpa cabaran.
Aku sedang menunggu saat untuk jatuh cinta dengan seseorang yang boleh membuka hati aku.
Cinta bukanlah membayangkan seseorang yang kita boleh habiskan masa depan kita dengannya, cinta adalah tidak dapat membayangkan masa depan tanpanya.
Tidak perlu menangis, aku tahu kamu akan sentiasa berada di sisi ku.”)
Mr. Orchard juga menyatakan bahawa pesanannya adalah,”…Sesuatu yang beliau memang akan lakukan” dan “Mesej Athena ini benar-benar merungkai perasaan paling mendalam seorang gadis yang sedang bertarung untuk nyawanya.”
Walaupun setelah kematiannya, Athena masih ‘bernafas’ di dalam ingatan ahli keluarnya.
Menurut ibunya, keluarganya akan menyimpan cermin itu selama-lamanya.
“Cermin ini adalah sebahagian daripada dirinya yang masih wujud di dalam rumah ini. Ia akan sentiasa berada di dalam bilik tidurnya.
“Hanya membaca tulisannya buat kami rasa seperti beliau masih ada dengan kami, seperti dia masih hidup.”-MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=hn8z3DCEnfs]
Teks: SARA KHALID



