KUALA TERENGGANU – Persatuan Tunas Usahawan Belia Terengganu (Patut) telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu skuad khas dianggotai 50 usahawan persatuan itu untuk membantu membanteras wabak denggi.
Setiausaha Agung Patut Siti Radhiah Hassan berkata Skuad Perangi Denggi itu telah pun melakukan siri gotong-royong bersama penduduk setempat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada minggu lepas.
“Kami berharap sedikit sumbangan tenaga kerja dalam gotong royong ini mampu mengurangkan peningkatan kes demam denggi yang sedang berlaku sekarang.
Usaha ini juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya tidak membiarkan ia dilaksanakan pihak kerajaan sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata usaha itu perlu dicontohi oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan gotong royong bersepadu dilakukan sekali seminggu di kawasan lokaliti wabak dan semua jabatan serta agensi kerajaan berkaitan perlu terlibat dalam gotong royong ini.
“Bagi kawasan bukan wabak pula, gotong royong perlu diadakan sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi mengelak wujudnya tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada pemberita di sini.
Setakat ini Terengganu mencatat enam kematian akibat demam denggi sepanjang Januari lalu membabitkan seorang warga emas 65 tahun, seorang wanita, tiga murid sekolah dan seorang kanak-kanak murid tadika. – BERNAMA

