SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai merempuh bahagian sisi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier di Jalan Mambau-Rantau, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa Mohd Izuddin M Sheh, 30, dipercayai mahu keluar dari simpang tiga Kampung Baru Mambau.
“Kemalangan berlaku berhampiran pintu gerbang Kampung Baru Mambau dan berdasarkan siasatan awal, motosikal ditunggang mangsa, seorang tentera yang berasal dari Benut, Johor, telah melanggar bahagian sisi kanan Toyota Harrier itu.
“Kereta berkenaan pula ketika itu hendak masuk ke Kampung Baru Mambau. Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera di kepala dan maut di tempat kejadian manakala pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

