ALOR SETAR – Majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang baharu bakal diadakan di sini pada Jumaat ini, menurut laporan portal berita politik tempatan AgendaDaily yang memetik daripada akhbar China Press.
Harian itu yang merujuk sumber boleh dipercayai melaporkan bahawa jawatan menteri besar asalnya dijangka dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Namun begitu, disebabkan Ahmad Bashah secara berprofil tinggi mendesak Menteri Besar Kedah ditukarkan dan mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati, maka jawatan itu mungkin juga dipegang oleh pemimpin lain.
Antara yang paling disebut-sebut ialah ADUN Guar Chempedak yang juga Exco Kedah bagi portfolio Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail.
Pelantikan beliau dianggap amat tepat kerana dari segi senioriti Exco kerajaan negeri sendiri, beliau adalah orang No.2 selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berbanding Ahmad Bashah yang kini merupakan senator Pusat.

Justeru Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu bakal kekal status quo demi elak berlaku rombakan kecil Kabinet Persekutuan jika Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar baharu.
Manakala ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang terkenal lantang sejak dahulu lagi pernah mendesak Mukhriz digantikan bakal dilantik menjadi Exco Kanan Kedah dan mengambil alih kedudukan Ku Abd. Rahman.
Exco yang kekal pula ialah Leong Yong Kong (Gurun) dan Badrul Hisham Hashim (Kuala Nerang), sementara itu, lima exco lain yang dilihat memang ‘terang’ sebagai berpihak kepada Mukhriz dijangka tidak dilantik semula.
Mereka ialah Datuk Aminuddin Omar (Jitra), Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang), Noor Sabrina Mohd. Noor (Bandar Baharu), Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid (Ayer Hangat) dan Datuk Mohd. Tajudin Abdullah (Belantek).
Lima exco baharu yang dijangka dilantik ialah Datuk Ahmad Zaini Japar (Bukit Kayu Hitam), Ali Yahaya (Pantai Merdeka), Mahadzir Abdul Hamid (Jeneri), Kama Noriah Ibrahim (Pedu) dan Nor Saidi Nanyan (Kuah).
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Nota: Sedutan program siaran langsung Bicara Rakyat bertajuk ‘Kedah La Ni’ menerusi stesen TV1 RTM pada 16 Disember 2011.
