ALOR SETAR – Jemaah Pemangku Sultan Kedah menegaskan bahawa anggota jemaah itu adalah berkecuali dalam krisis politik di negeri ini dan menasihatkan pihak yang terlibat untuk segera mencari jalan menyelesaikannya.
Perkara tersebut ditegaskan Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan di sini pada Selasa.
Beliau berkata bahawa Jemaah Pemangku Sultan mahu semua pihak yang terlibat itu supaya dapat menggunakan saluran sedia ada untuk menyelesaikan sebarang perasaan ketidakpuasan atau masalah yang mungkin ada.
Katanya, Jemaah Pemangku Sultan meminta semua pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan tidak melibatkan rakyat yang ketika ini memerlukan perhatian dan pimpinan daripada kesemua pemimpin.

“Ahli-ahli Jemaah mengambil maklum tentang berita pergolakan politik sedang berlaku di Kedah dan menegaskan bahawa jemaah ini berkecuali daripada menyokong atau memihak mana-mana golongan atau pihak,” katanya.
Syed Unan Mashri menjelaskan bahawa, Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut mahu semua pihak agar bertenang dan bersabar dalam menghadapi krisis politik yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Suasana politik di Kedah ‘panas’ sejak beberapa hari lepas apabila Muhkriz menerima tekanan daripada sebilangan besar Anggota Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen UMNO Kedah, serta pemimpin kanan UMNO negeri.
Kumpulan majoriti besar yang diketuai sendiri oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah itu secara tergempar mengadakan sidang akhbar khas di sini minggu lalu.
Mereka secara terbuka menyuarakan sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz yang jelas gagal sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
