SEEKOR kucing menarik perhatian ramai apabila muncul semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meninjau Jeti Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Chenang, Langkawi baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsikan oleh stesen Astro Awani itu, kucing berkenaan dilihat menyusup di celah-celah kaki orang ramai sebelum mengambil ikan dari sebuah bot nelayan di jeti nelayan tersebut.
Baca: Imam Buka Pintu Masjid Demi Kucing Yang Kesejukan
Mamalia comel itu kemudian melompat ke atas jeti bersama ikan yang digigitnya dan secara tidak sengaja ikan tersebut terlepas betul-betul di hadapan kaki Perdana Menteri.
Orang ramai ketawa melihat aksinya yang seakan ‘kantoi’ melarikan ikan dan Najib sempat mengusap kepala haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W itu sebelum mengembalikan semula ikan itu kepada nelayan.
Najib berada di Kedah bagi menghadiri majlis sambutan penerbangan sulung AirAsia laluan Langkawi-Guangzhou di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. – MYNEWSHUB.CC