KUALA LUMPUR – Parti DAP berang dengan desakan UMNO Kedah supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan dan digantikan dengan individu yang lebih layak.
Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng berkata, UMNO Kedah tidak wajar meminta Mukhriz meletak jawatan kerana mendakwa beliau seorang yang tidak berdosa dan merupakan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Apalah dosa Mukhriz sehingga diperlakukan sedemikian. Adakah pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) Kedah bersetuju dengan gesaan UMNO Kedah untuk menyingkirkan anak Tun Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
UMNO Kedah semalam mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi UMNO negeri.
Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selepas perjumpaan tertutup pemimpin UMNO negeri di Grand Alora Hotel, Alor Setar.
Seramai 14 Ketua UMNO Bahagian di kedah hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang menghantar Timbalan Ketua bahagian masing-masing sebagai wakil.
Mukhriz pada 8 November lalu pernah menyatakan kesediaan mengundurkan diri daripada jawatannya itu.
Beliau waktu itu memberi jaminan akan memberi laluan kepada mana-mana pemimpin UMNO untuk memegang jawatan tersebut selagi pengganti berkenaan mampu meyakinkan rakyat Kedah untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, Mukhriz dalam reaksinya semalam membayangkan beliau tidak akan melepaskan jawatan itu meskipun diminta berbuat demikian oleh seluruh pimpinan UMNO Kedah. – mynewshub.cc

