KUALA LUMPUR – Jurulatih sementara skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee akhirnya muktamad dilantik sebagai ketua jurulatih yang baharu dengan tempoh kontrak selama dua tahun.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas FAM, Datuk Mokhtar Ahmad mengumumkan secara rasmi pelantikan jurulatih tersebut.
Beliau berkata, Kim Swee perlu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking dunia badan induk bola sepak antarabangsa yang kini menghuni tangga ke-171 kepada kelompok bawah 140.
Selain itu, pelantikan tersebut penting untuk persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 yang dijadualkan berlangsung pada 28 November hingga 18 Disember depan.
“Kim Swee juga akan bantu Frank Bernhardt mempersiapkan pasukan bawah 23 tahun sebelum Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017,†kata Mokhtar pada majlis pengumuman itu di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.
Pasukan Petugas Khas diberi mandat membuat pemilihan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan melibatkan tiga calon termasuk bekas jurulatih JDT, Bojan Hodak dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Mokhtar seterusnya berkata, Kim Swee, yang berusia 46 yahun dan berasal dari Melaka; mempunyai pengalaman lebih baik membimbing pasukan negara berbanding dua lagi calon berkenaan.
Kim Swee ujar beliau juga perlu mempersiapkan pasukan Malaysia untuk menghadapi beberapa perlawanan playoff kelayakan Piala Asia 2019 masing-masing pada 2 Jun, 7 Jun dan 11 Oktober tahun ini.
Antara anggota panel pemilihan jurulatih itu terdiri daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Persatuan Jurulatih Malaysia serta beberapa pegawai lain.
Kim Swee pernah melatih Harimau Muda A (2009 – 2014), jurulatih bawah 23 tahun kebangsaan (2011 – 2015) dan jurulatih sementara skuad senior negara selepas Dollah Salleh melepaskan jawatan pada September lepas.
Sejak memulakan kariernya sebagai jurulatih skuad Harimau Muda, Kim Swee telah berjaya bantu skuad muda itu raih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia serta muncul juara Pestabola Merdeka pada 2013.
Kim Swee akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih baharu sebaik sahaja beliau bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak oleh pihak FAM. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

