GEORGETOWN – Tiga penjual hasil laut di Pasar Awam Batu Lancang di sini hari ini dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga udang sempena Tahun Baru Cina ini.
Dua premis didapati mempamerkan dua harga pada udang segar yang dijualnya manakala satu premis lagi didapati menjual udang segar dengan harga tinggi.
Tindakan tiga peniaga yang menjual hasil laut seperti udang, sotong dan ikan itu dikesan dalam operasi memantau harga hasil laut di pasar awam berkenaan yang melibatkan 20 pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Pulau Pinang Chin Ching Chun berkata ketiga-tiga peniaga itu diberi notis tunjuk sebab mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mempamerkan harga jualan yang tidak berpatutan.
“Di bawah notis itu, peniaga berkenaan diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan terhadap harga yang dikenakan untuk hasil laut di premis mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata PPDNKK ada menerima aduan mengenai peniaga yang menaikkan harga udang putih sehingga RM100 sekilogram, sotong RM24 sekilogram dan ikan bawal putih RM60 sekilogram.
Chin berkata kementerian dijangka melancarkan skim kawalan harga sempena Tahun Baru Cina bermula 3 hingga 14 Feb ini bagi mengawal harga barang keperluan.
Beliau berkata beberapa kategori udang dijangka dimasukkan dalam skim kawalan harga supaya penjual tidak boleh menaikkan harga sesuka hati.
Sementara itu, seorang pekerja kilang, G.Menaga, 45, berkata beliau ke pasar itu dua kali seminggu untuk membeli udang dan hasil laut lain.
“Selalunya saya akan membeli udang bersaiz sederhana dan harganya juga hanya sekitar RM14 hingga RM15 untuk setiap 500gram. Harga udang bersaiz besar amat mahal dalam lingkungan RM50 setiap 500gram,” katanya.
Beliau berkata operasi pemantauan harga oleh PPDNKK itu akan membantu mengawal harga barang supaya penjual tidak menaikkannya sesuka hati. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]hHLPTisCByI[/wpdevart_youtube]