KUALA LUMPUR – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimeterai pada Februari, dengan atau tanpa Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Kami menjangka perjanjian itu dimeterai pada Februari dan kami akan membentangkannya di Dewan Rakyat pada 27 Jan dan Dewan Negara pada 28 Jan bagi pengundian,” katanya kepada pemberita selepas menganjurkan sesi pendengaran awam bersama usahawan kecil dan sederhana di sini, hari ini.
Terdahulu, diumumkan New Zealand, satu dari 12 anggota TPPA, dijangka menjadi tuan rumah majlis menandatangani perjanjian utama itu.
Negara-negara TPPA membentuk hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global. – BERNAMA