GEORGE TOWN – Pengendali skuad Harimau Kumbang Jacksen F. Tiago mengharapkan anak buahnya lebih fokus untuk mencapai sasaran empat tempat teratas dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2016.
Tiago mahu anak didiknya berdisiplin dalam setiap perlawanan walaupun itu hanya perlawanan persahabatan dan mereka harus menganggapnya sebagai perlawanan Liga M.
Katanya, skuad ini memerlukan masa untuk mewujudkan keserasian dengan tiga pemain import baru dari Australia, Brazil dan Argentina.
“Ketiga-tiga pemain ini tidak pernah bermain di Malaysia dan mereka perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan saya pasti skuad ini berupaya memberikan satu persembahan yang baik dalam persaingan Liga M nanti,” katanya kepada pemberita selepas kekalahan 1-3 kepada Felcra FC dalam perlawanan persahabatan di sini malam tadi.
Tiga import yang akan membantu skuad Harimau Kumbang pada saingan Liga M adalah Jose Tadeu (Brazil), Matias Cordoba (Argentina) dan Brent Griffiths (Australia) yang menggantikan Lee Gil Hoon (Korea Selatan), Hilton Moureira (Brazil) dan Alberto Goncales Da Costa (Brazil) yang digugurkan.
Tiago berkata beliau cuba mengambil peluang perlawanan ini untuk mencuba variasi dan formasi selain memberikan masa kepada semua pemain untuk beraksi.
Katanya, beliau sudah mempunyai idea untuk kesebelasan utama yang akan diturunkan pada saingan Liga M nanti namun peluang masih terbuka kepada pemain- pemain yang boleh mempamerkan persembahan yang lebih bertenaga.
“Tugas saya kini adalah untuk memberi mereka suntikan semangat supaya mereka dapat beraksi dengan lebih percaya kepada diri sendiri dan berusaha untuk memenangi setiap perlawanan,” katanya.
Tiago berkata skuad Harimau Kumbang harus memberi tumpuan dari segi kerja berpasukan ketika beraksi di padang selain pemain harus lebih fokus dan tenang sepanjang perlawanan bagi memastikan peluang tidak disia-siakan begitu sahaja.
“Sebagai pasukan baru dalam Liga M, saya berharap pemain-pemain akan berusaha dengan lebih gigih untuk mendapatkan keputusan yang positif dalam setiap pelawanan yang dihadapi,” katanya. – BERNAMA

