LUMUT – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikalnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di Km14.5, Jalan Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Batu 12, Lekir di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu, Mohamad Zulkanain Mohammad, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata kejadian berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan pulang ke rumah tidak jauh dari lokasi kejadian selepas menghantar adiknya, Mohamad Hakim, 17, untuk bermain bola.
Pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya ketika dihubungi hari ini. – BERNAMA

