KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Malaysia menafikan visa atlet Israel daripada bertanding dalam sukan luncur angin di negara ini cuma perkara kecil berbanding kejahatan yang dilakukan rejim zionis ke atas rakyat Palestin selama ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, tindakan oleh kerajaan itu sangat tepat memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan antara negara yang menentang kezaliman zionis.
Justeru, katanya, Pemuda PAS menyelar sikap biadap DAP membantah tindakan kerajaan menyekat dua altet Israel Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia di Langkawi.
“Tindakan DAP itu menimbulkan persoalan apakah parti yang katanya membawa agenda keadilan dan hak asasi manusia menyokong negara Israel yang secara rakus menyerang dan menindas Palestin dan rakyatnya.
“DAP sepatutnya perlu lebih peka dengan politik dan hubungan kemanusiaan di luar negara,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
DAP Perak semalam membantah langkah Kementerian Belia dan Sukan menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi hari ini.
Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin dipetik berkata, kerajaan tidak patut menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
Mohd. Akmal dalam pada itu mendesak Chong Zheminn menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kerana telah mengguris perasaan rakyat Malaysia yang sentiasa bersolidariti buat Palestin tanpa mengira bangsa dan agama.
“PAS Perak merakamkan ucapan tahniah di atas ketegasan kerajaan Malaysia dalam isu membabitkan Israel dan keamanan Palestin,” katanya. – Mynewshub.cc

