BESUT – Jenazah jurudandang, Mohd. Sukri Sulaiman, mangsa letupan dandang stim, kilang plastik di Ruwais, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sabtu lepas, selamat dikebumikan 12 tengah hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak, Jerteh.
Terdahulu jenazah Mohd Sukri, 45, yang diterbangkan dengan penerbangan Emirates Airlines, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi dan kemudian diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Ketibaan jenazah di rumah ibunya, Fatimah Ismail, 70; di Kampung Padang Landak, Jerteh, 11 pagi tadi, disambut dalam suasana sayu dan hiba oleh kira-kira 300 penduduk kampung untuk tatapan kali terakhir oleh keluarganya termasuk isteri mangsa, Siti Azmahani Mamat dan empat anaknya.
Setelah berada selama kira-kira 20 minit janazah mangsa kemudian dibawa ke Masjid Alor Selising, Kampung Padang Landak, Jerteh untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan kampung yang sama untuk dikebumikan tengah hari tadi.
Sementara itu abang sulung mangsa, Saria Sulaiman, 52; yang mengiringi jenazah mangsa dari Abu Dhabi ketika ditemui selepas pengebumian berkata beliau mewakili keluarga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan juga UEA kerana memberi kerjasama yang baik dalam memastikan pengurusan jenazah adiknya berjalan lancar.
Saria berkata beliau juga mendapat kerjasama daripada komuniti di Ruwais termasuk kalangan penduduk Malaysia yang bekerja di sana bagi menyempurnakan jenazah adiknya sebelum ketibaannya pada Rabu di negara itu.
“Dengan kerjasama yang erat, penghantaran balik jenazah adik saya hanya memakan masa selama 6 hari daripada tarikh kejadian pada pagi Sabtu lalu untuk diterbangkan ke Malaysia yang biasanya mengambil masa selama 3 minggu,” katanya kepada media di sini.
Menurutnya semua kos penghantaran balik jenazah adiknya itu dibiayai majikannya, syarikat Al-Borouge.
Dalam kejadian letupan awal pagi Sabtu itu, Mohd. Sukri yang baru balik dari bercuti di kampung, ditugaskan memeriksa sebuah daripada dandang stim di kilang plastik itu apabila tiba-tiba ia meletup pada 1 pagi.- BERNAMA
[wpdevart_youtube]0mAgJMrFbvk[/wpdevart_youtube]

