KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berdiri teguh di belakang Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini diserang hebat ahli dan penyokong Pakatan Harapan di media sosial gara-gara gesaannya ke atas umat Islam Malaysia supaya kembali bersatu.
Naib ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, DPPM akan sentiasa bersama Abdul Hadi untuk menjayakan seruan itu walaupun Presiden PAS itu diasak dengan pelbagai fitnah oleh pihak yang bimbangkan kesatuan umat Melayu Islam di negara ini.
“Umat Islam perlu kembali menyatukan umat. Ketepikan perbezaan kaum dan ideologi untuk membina sebuah negara yang aman dan adil untuk semua.
“Kita mempunyai kekuatan jika bersatu dan mengambil politik yang meletakkan kepentingan umat dan negara untuk kembali kepada Allah dan mengenepikan kepentingan politik sempit, perkauman dan ideologi serta kepentingan peribadi,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Abdul Hadi selaku Presiden PAS memeranjatkan ramai pihak apabila mereka bersama-sama menyertai Multaqa Serantau Alumni Al- Azhar Malaysia 2015 di sini kelmarin.
Kedua-dua mereka dalam ucapan masing-masing turut menyatakan tentang kepentingan untuk umat Islam kembali bersatu padu selepas sekian lama berbalah hanya kerana sentimen politik.
Najib secara terbuka turut menghulurkan salam persaudaraan kepada Abdul Hadi dan perkembangan positif itu dilihat ramai pihak merintis jalan perpaduan antara Pas dan UMNO.
Senario baharu hubungan diantara dua parti terbesar kaum Melayu itu bagaimanapun mengundang keresahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan kerana khuatir perkembangan itu boleh menjejaskan usaha mereka untuk menawan Putrajaya.
Khairil Nizam dalam pada itu turut menerangkan demokrasi dalam Islam banyak berlandaskan musyawarah, bukan perdebatan semata-mata untuk mencari siapa yang hebat. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]0babYTFbvyY[/wpdevart_youtube]

