KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Sepang, Hulu Langat dan Petaling telah mula mendapat bekalan air bersih seperti biasa selepas mengalami masalah bekalan sejak beberapa hari lalu.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal AwamSyarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, bekalan kembali pulih selepas kerja-kerja baik pulih dan naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih selesai.
Bagaimanapun, katanya, pemulihan bekalan air ke seluruh kawasan tersebut akan mengambil sedikit masa untuk dipulihkan kerana melibatkan pengguna yang ramai.
“Ia disebabkan terdapat sebanyak 120 kawasan di ketiga-tiga wilayah merangkumi 146,813 akaun pengguna.
“Faktor pemulihan kawasan ini turut bergantung kepada kedudukan kawasan penduduk yang mana pengguna di kawasan tinggi akan lewat menerima bekalan air berbanding kawasan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Priscilla berkata, Syabas mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna terlibat di atas pemahaman dan kesabaran mereka berhadapan gangguan bekalan air tersebut. mynewshub.cc

