• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, April 2, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Mexico Luluskan Vaksin Denggi Pertama Dunia

oleh Ahmad Albab
11/12/2015
dalam Hangat, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Mexico telah meluluskan vaksin denggi pertama di dunia, pada hari Rabu, namun Malaysia masih belum lagi mengambil keputusan mengenai perkara tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama, Kementerian Kesihatan Malaysia masih lagi mengkaji isu tersebut.

Antara keraguan yang timbul ialah kadar keberkesanan rendah vaksin itu terhadap DEN2, iaitu jenis virus yang paling kerap ditemui dalam kes-kes denggi lazim di Malaysia.

Tindakan pihak berkuasa kesihatan Mexico itu menjadikan Dengvaxia vaksin pertama di dunia yang dilesenkan untuk mengelakkan jangkitan denggi.

Keputusan itu diambil Mexico setelah berpuas hati dengan keputusan fasa terakhir ujian vaksin itu di negara-negara rantau Amerika Latin pada 2014.

Malah kejian telah dijalankan ke atas 20,875 kanak-kanak berumur dari 9-16 tahun di Brazil, Columbia, Honduras, Mexico dan Puerto Rico.

Dengvaxia dibangunkan oleh Pasteur, cawangan vaksin Sanofi, sebuah syarikat farmaseutikal dari Perancis.

Ia telah menjalankan kajian ke atas penyakit tropika itu selama lebih 20 tahun dengan kos €1.5 billion (kira-kira RM7 billion). Ini termasuk kos pembuatan vaksin.

Pada 11 Julai, 2014, Sanofi mengumumkan dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, bahawa vaksin denggi yang dihasilkannya telah melepasi fasa III ujian klinikal di Asia Tenggara.

Ujian fasa III adalah antara ujian terakhir bagi sesuatu ubat sebelum ia dapat diletakkan di pasaran.

Ujian klinikal juga dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Ia menunjukkan keberkesanan sebanyak 56.5 peratus bagi kumpulan yang divaksinkan berbanding dengan kumpulan kawalan, dalam pantauan aktif selama 25 bulan itu.

Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi jenis DEN3 dan 4 (75 peratus). Bagaimanapun, seperti keputusan ujian klinikal di Amerika Latin,

Ia jelas menunjukkan perlindungan yang kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan DEN2 (35 peratus).

Namun ujian klinikal di Asia Tenggara menunjukkan vaksin itu 88 peratus berkesan mengelakkan denggi berdarah.

Pada awalnya, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan vaksin denggi itu bakal disediakan di Malaysia pada pertengahan 2015.

“Vaksin itu akan diberikan percuma kepada orang ramai di Malaysia,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya ketika itu.

Namun, pihak kementerian menarik balik keputusan itu beberapa bulan selepas itu, dengan menteri, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengatakan data kajian yang diberikan tidak cukup untuk penggunaan vaksin itu pada skala besar.

Pakar virologi terkemuka, Prof. Emeritus Dato Dr. Lam Sai Kit melahirkan kekesalannya atas keputusan Kementerian Kesihatan namun faham akan kebimbangan yang dinyatakan.

“Sebagai Pengerusi Pengasas Jawatankuasa Pemandu Vaksin hingga Pemvaksinan Denggi Asia Pasifik, ingin saya katakan bahawa kami telah mengawasi pembikinan vaksin ini secara dekat disamping memastikan ianya berkesan, melindungi dan paling penting, selamat digunakan.

“Vaksin ini telah melalui ujian klinikal yang ketat membabitkan lebih 31,000 orang dari 10 negara. Setahu saya, tiada vaksin lain yang lebih diuji dengan teliti daripada vaksin ini.

“Keputusan ujian di Asia dan Amerika Latin juga telah disiarkan dalam jurnal saintifik paling terkemuka dan dikaji dengan teliti,” katanya kepada Bernama.

Lam yang telah bekerja di bidang virologi denggi lebih 40 tahun telah mengikuti pembangunan Dengvaxia sejak awal lagi.

“Saya bersama WHO Geneva pada 1980-an sehingga dua tahun. Ketika itu, saya sebahagian daripada pasukan petugas untuk mengawasi pembangunan vaksin denggi tetravalen Mahidol di Thailand.

“Selepas 20 tahun, mereka mendapati ianya tidak dapat digunakan.

“Sanofi Pasteur kemudian menyahut cabaran yang sama 20 tahun lalu menggunakan kaedah berlainan. Kini mereka berjaya mengeluarkan vaksin denggi pertama di dunia yang telah pun dilesenkan di Mexico,” katanya.

KEBIMBANGAN DAN KOS

Bernama sebelum ini telah bertanya kepada Noor Hisham sama ada kos yang tinggi menjadi penghalang vaksin itu digunakan di Malaysia.

Bagaimanapun, jawapan beliau ialah pihak kementerian masih mengkaji data yang ada dengan lebih mendalam.

Lam agak kecewa dengan keterangan itu.

“Malaysia punyai peluang menjadi negara pertama dalam sejarah untuk melesenkan vaksin denggi, namun kita tidak merebut peluang itu. Kadangkala, kita boleh jadi terlalu berhati-hati dan mengambil masa terlalu lama untuk mendebatkan kebaikan dan kelemahan sesuatu tindakan.

“Saya harap bukan kos yang menjadi penghalang. Kalau Mexico boleh menjadikannya satu keutamaan negara, kenapa tidak Malaysia? Sekurang-kurangnya kita boleh menjadi negara pertama di Asia menggunakan vaksin ini,” katanya.

Lam merumuskan dari mesyuarat yang dihadirinya bersama para saintis lain dan wakil Kementerian Kesihatan, kebimbangan utama kakitangan kesihatan ialah cara menyampaikan kepada orang ramai bahawa keberkesanan keseluruhan bagi vaksin itu hanyalah 60 peratus.

“Ini bermaksud, 40 peratus daripada mereka yang disuntik vaksin masih berkemungkinan dijangkiti denggi. Namun vaksin itu akan memastikan jangkitan itu tidak akan melarat ke tahap serius yang boleh mengakibatkan kematian. Demam yang mereka dapat mungkin tahap lemah sahaja,” jelasnya.

Apapun, pastinya bukan mudah untuk kakitangan kesihatan menerangkan hal ini kepada ibu bapa yang anaknya dijangkiti denggi walaupun telah divaksin.

“Kita tidak boleh lupa, vaksin ini dapat mengurangkan kadar denggi berdarah 80-90 peratus, sekaligus mengurangkan kemasukan wad dan kematian. Ini juga bakal banyak menjimatkan perbelanjaan negara,” katanya lagi.

Menurut WHO, sebanyak 390 juta kes dilaporkan setiap tahun di lebih 100 negara, kebanyakannya negara membangun. Setengah juta daripada jumlah itu dijangkiti denggi berdarah.

Di Asia sahaja, kos tahunan merawat denggi adalah dalam US$2 bilion (RM8.53 billion), tetapi ini belum lagi mengambil kira kos pengawalan vektor.

Kajian oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Brandeis University pada 2012 menunjukkan bebanan ekonomi akibat denggi kepada Malaysia dalam RM360 juta setahun.

Jumlah ini tentunya lebih tinggi lagi pada tahun-tahun selepasnya, memandangkan peningkatan mendadak kes denggi dan kos perubatan negara.

Lam mengingatkan manfaat vaksin denggi kepada kesihatan awam adalah besar walaupun keberkesanannya dianggap rendah.

“Tiada vaksin sempurna di dunia. Malah, ada vaksin melawan penyakit berjangkit yang digunakan walaupun keberkesanannya kurang 50 peratus.

“Adalah salah untuk mempercayai bahawa sesuatu vaksin itu perlu sempurna sebelum kita menimbang untuk menggunakannya.” – BERNAMA

[wpdevart_youtube]69mqMaDxyZU[/wpdevart_youtube]

Tags: denggi
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Lonjakan Denggi Ancam Singapura

09/06/2022
0

SINGAPURA – Pemerintah Singapura menyatakan bahawa republik itu sedang berdepan dengan situasi kecemasan bagi wabak demam denggi selepas mencatatkan lonjakan...

Denggi Naik 70 Peratus, HFMD Masih Paras Amaran Di Selangor

13/05/2022
0

SHAH ALAM : Kes demam denggi di Selangor mencatatkan peningkatan 70 peratus iaitu sebanyak 9,357 kes dilaporkan setakat ini. Ikuti...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd