KUALA LUMPUR – Pertubuhan propembangkang, BERSIH 2.0 membantah tindakan kerajaan menghalang aktivisnya, Hishamuddin Rais keluar negara.
BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media mendakwa, larangan itu menafikan hak kebebasan Hishamuddin seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“BERSIH 2.0 menuntut kerajaan Malaysia memberikan jawapan mengapa Hishamuddin dilarang terbang keluar negara.
“Dia dijadualkan untuk terbang ke Seoul bagi memenuhi jemputan Forum Asia melalui Perpaduan Rakyat Korea Untuk Demokrasi (PSPD) untuk memerhatikan perhimpunan aman di Seoul City Plaza esok,” kata kenyataan itu hari ini.
BERSIH 2.0 turut mengakui Hishamuddin akan mewakili pertubuhan itu sebagai pemerhati dalam perhimpunan aman di Seoul berkenaan.
Hishamuddin hari ini mendakwa dia dihalang daripada keluar negara ketika mahu menaiki pesawat ke Korea Selatan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Menurut Hishamuddin, dia ditahan di pintu imigresen sewaktu mahu menaiki pesawat ke Seoul menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim baru-baru ini mendedahkan rancangan Hishamuddin untuk mengepong Parlimen waktu perhimpunan haram BERSIH 4.0. – mynewshub.cc