GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan ke atas dua individu di sebuah restoran di Jalan Paya Terubong di sini Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki berusia 47 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai bersembunyi di sini bagi mengelak daripada dikesan pihak polis.
Mior Faridalatrash berkata suspek dipercayai membuang pistol yang digunakannya ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang.
Beliau berkata suspek melepaskan lima das tembakan kepada kedua-dua mangsa yang sedang makan di restoran itu.
Dipercayai mangsa telah bergaduh dengan sekumpulan individu pada Rabu lalu, katanya. – BERNAMA

