KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan bahawa siasatan ke atas rusuhan yang berlaku di Taman Medan, Petaling Jaya pada April lepas telah lengkap dan kertas siasatan telah diedarkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis berkata kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Jawapan diberikan untuk pertanyaan Khalid Abdul Samad (AMANAH-Shah Alam) yang ingin tahu status siasatan protes di hadapan sebuah gereja di Taman Medan.
KDN berkata kerajaan sentiasa memandang serius kes jenayah yang berlaku terutama yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.
Ia berkata siasatan akan dijalankan tanpa mengira sama ada ia dilakukan oleh individu berpengaruh atau sebaliknya.
Mengenai soalan Khalid tentang status siasatan rusuhan di Low Yat Plaza pada Julai lepas, KDN berkata pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan yang mana seorang individu telah ditangkap dan telah dituduh di mahkamah dan ditetapkan untuk perbicaraan dari 30 Nov hingga 1 Dis 2015.
Sementara lima individu telah ditangkap dan masih dalam siasatan serta empat individu telah ditangkap dan telah dituduh di mahkamah pada 10 Ogos lalu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]C4nN6sBgeOs[/wpdevart_youtube]