KUALA LUMPUR – Dalam usaha membantu pesara kerajaan untuk terus kekal aktif dan produktif, kerajaan merangka pelbagai inisiatif sejajar dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan memahami dan menyedari bahawa pesara merupakan aset yang memerlukan perhatian, penghargaan dan penjagaan kebajikan berterusan bagi memastikan kelangsungan produktiviti kepada masyarakat dan negara.
“Dengan adanya platform NBOS, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam dan 1Malaysia for Youth (IM4U) telah melancarkan Program Sukarelawan Seniors pada Ogos lepas.
“Inisiatif ini sebagai landasan kepada warga pesara untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukarelawan,” katanya pada Majlis Khidmat Bakti Jabatan Perdana Menteri Bil 2/2015 di sini, malam tadi.
Sebanyak 101 pesara kerajaan termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib diraikan.
Ali turut berkata kerajaan juga memperkenalkan Program Keusahawanan 1Malaysia Entrepreneur (1MET) yang memfokuskan Business Model Canvas (BMC) kepada golongan pesara yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.
Beliau juga menyarankan para pesara supaya dapat bergiat aktif dalam aktiviti dan program kemasyarakatan atau kesukarelawanan di komuniti masing-masing.
“Warga pesara perlu bangkit dan membuktikan bahawa persaraan bukan bermakna malapnya masa hadapan atau tamatnya era kesejahteraan hidup, malah persaraan sebenarnya membuka lembaran baharu ke arah kehidupan yang baharu,” katanya.
Beliau berkata bilangan pesara kerajaan termasuk penerima pencen sehingga Julai tahun ini berjumlah lebih 700,000, dan dijangka sebanyak 40,000 lagi akan bersara tahun depan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]LFl0IQuxFtY[/wpdevart_youtube]