KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan infrastruktur kewangan digital – Growth Accelerator Exchange (GAX) – untuk komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
GAX, inisiatif oleh Majlis Penasihat Ekonomi ASEAN (ABAC), menyediakan infrastruktur kewangan digital untuk PKS menangani masalah pembiayaan yang terhad.
Pengerusi ABAC Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata GAX akan menyediakan teknologi mudah dan boleh diakses PKS bagi mengatur dan menangani cabaran ekoran pembiayaan yang terhad untuk mereka berkembang sebagai sebuah perniagaan.
“Misi ABAC adalah untuk merealisasikan visi sebenar ASEAN bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial. Pelancaran GAX hari ini sangat kritikal dan merupakan langkah pertama untuk memacu PKS ASEAN kepada akses pembiayaan dan pertumbuhan,” katanya semasa melancarkan GAX di sini hari ini.
Butiran mengenai platform berkenaan akan diumumkan kemudian, katanya.
Diupayakan oleh penyelesaian teknologi kewangan Silverlake Axis Ltd, GAX pada peringkat awal akan ditawarkan di Malaysia dan ke negara ASEAN lain tahun depan.
PKS merupakan tulang belakang ekonomi ASEAN, menyumbang sehingga 96 peratus daripada perniagaan berdaftar, menyediakan pekerjaan kepada 97 peratus penduduk yang bekerja di negara anggota ASEAN, dan menyumbang sehingga 85 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara di rantau ini.
Perdana Menteri sebelum itu menyampaikan Anugerah Perniagaan ASEAN 2015 ASEAN kepada lapan syariat yang mencapai penanda aras standard korporat terbaik.
Antara penerima ialah DRB-Hicom Bhd bagi kategori automotif, AirAsia Bhd (penerbangan) dan Kossan Rubber Industries Bhd (berasaskan getah).
ASEAN yang dianggotai 10 negara Asia Tenggara — Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Vietnam, Filipina, Laos, Kemboja dan Myanmar, didiami lebih 630 juta penduduk dan kini merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]QtDW4Nami0g[/wpdevart_youtube]