GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mencadangkan supaya kes saman fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang terhadap syarikat portal, FZ Sdn. Bhd. berhubung penyiaran satu artikel mengenai pembelian kereta Mercedes dalam laman web www.fz.com diselesaikan secara baik.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan membuat saranan itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Datuk N. Mureli yang mewakili Lim Guan Eng dan peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman bagi pihak syarikat itu dan Pengarang Urusannya, Terence Fernandez.
Mureli memaklumkan kepada pemberita bahawa mahkamah mengarahkan untuk kedua-dua pihak berunding terlebih dahulu bagi menyelesaikan kes tersebut secara baik.
Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang terlebih dahulu berhubung cadangan tersebut dan sekiranya tiada penyelesaian, perbicaraan akan diteruskan.
Mureli berkata mahkamah menetapkan 4 Disember depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan berhubung penyelesaian kes itu.
Mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu hari ini. Guan Eng turut hadir.
Pada Jan 2014, pemimpin DAP itu selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan syarikat tersebut sebagai defendan pertama dan Fernandez yang merupakan penulis artikel itu sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan pindaan itu, Guan Eng mendakwa Fernandez selaku Pengarang Urusan dan penulis dengan sengaja, secara salah dan berniat jahat telah menyebabkan satu artikel bertajuk “MACC begins probe on Merc purchase” ditulis dan disiarkan di laman web tersebut pada 3 Januari tahun lalu.
Ketua Menteri itu mendakwa artikel tersebut menunjukkan yang beliau seorang korup, tidak jujur, tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi pemimpin rakyat negeri Pulau Pinang.
Guan Eng mendakwa artikel tersebut turut menggambarkan bahawa beliau seorang yang terlibat dengan kegiatan penerimaan rasuah dan seorang penjenayah yang telah disyaki melakukan kesalahan rasuah sehingga menyebabkan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi pernyataan tuntutan itu juga beliau berkata pihak SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa badan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedang menyiasat Guan Eng kepada mana-mana pihak media dan menafikan ada menjalankan siasatan terhadapnya berkenaan isu pembelian Mercedes tersebut setakat 5 Januari 2014.
Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, perintah untuk pihak defendan menarik balik artikel fitnah itu dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel tersebut, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.
Sementara itu kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan pindaan mereka menafikan artikel yang disiarkan itu mempunyai kenyataan fitnah dan berniat jahat kepada Ketua Menteri. – BERNAMA

