KUALA LUMPUR – Sejumlah 446 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi 15 operasi mencari dan menyelamat antara 2010 hingga Oktober tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata dalam tempoh berkenaan, sejumlah 138 PATI gagal diselamatkan, sementara 74 PATI dilaporkan hilang.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat (untuk 15 operasi tersebut) adalah sebanyak 658 orang dengan sebahagian besar iaitu 633 orang terdiri daripada warganegara Indonesia,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (DAP-Selayang) yang ingin tahu jumlah insiden dan mangsa yang maut dalam kejadian bot PATI karam atau kemalangan dalam tempoh lima tahun lalu.
Shahidan berkata, kerajaan sememangnya bersimpati dengan kemalangan yang menimpa warga asing tersebut dan sentiasa mencari jalan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Shahidan berkata perbincangan antara kementerian dan agensi berkaitan memang dilaksanakan untuk menyelesaikan perkara itu dan pihaknya sendiri sentiasa memastikan operasi mencari dan menyelamat dapat berjalan lancar.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga anggota Parlimen Arau berkata kesiapsiagaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengawasi Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berada pada tahap yang tinggi dari segi kesediaan aset dan sistem kawalan untuk menghadapi sebarang ancaman luar.
Namun, beliau memberi amaran jenayah rentas sempadan masih boleh berlaku di kawasan berkenaan.
“Di mana-mana tempat pun di dalam dunia ini, memang menghadapi kesukaran (banteras jenayah rentas sempadan) dan kita pun tahu apa yang berlaku di Paris, antara negeri yang cukup ketat dari segi kawalan tetapi ia (serangan Paris) berlaku,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]dw_NgOR549k[/wpdevart_youtube]

