Kepada penggemar filem yang pernah menonton The Conjuring yang diterbitkan pada tahun lepas, pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton prekuel filem tersebut, Annabelle.
Filem yang mula ditayangkan minggu lepas ini mengimbau kembali kisah sebelum patung Annabelle disimpan oleh pasangan penyiasat paranormal, Ed Warren dan Lorraine Warren.
Bertunjangkan kisah gangguan entiti paranormal, naratif penceritaan dimulakan dengan kehidupan bahagia sepasang suami isteri, John Gordon dan Mia Gordon yang sedang menunggu kelahiran bayi sulung mereka.
Namun, satu kejadian pembunuhan yang berlaku terhadap jiran mereka menjadi titik tolak kepada peristiwa yang bakal mereka hadapi selepas itu.
Tanpa mereka sedar, roh Annabelle Higgins, salah seorang ahli pengikut ajaran sesat yang mati membunuh diri setelah membunuh kedua ibu bapanya, telah ‘menumpang’ dalam salah satu patung milik Mia.
Pelbagai siri kejadian seram berlaku selepas peristiwa itu terhadap pasangan suami isteri sehinggalah mereka mendapat cahaya mata.
Sayangnya, rencah yang diadun dalam filem ini dilihat kurang memuaskan daripada sekuelnya, mungkin kerana kerusi pengarahan telah bertukar milik.
Sebelum ini, filem The Conjuring diarahkan oleh pengarah filem seram terkenal yang berasal dari Kuching, Sarawak iaitu James Wan, namun kali ini ianya ditangani oleh John R. Leonetti.
Walau bagaimanapun, elemen kejutan dan seram yang ditampilkan boleh membuat penonton tidak senang duduk.


