KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu turut menggandakan rondaan dan operasi di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di laluan tersebut.
Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata rondaan bermula seawal pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam bermula dari Kuala Terengganu hingga ke Kemaman melibatkan tiga pegawai dan anggota dalam satu sesi.
Katanya, laluan sepanjang 184 kilometer itu sememangnya berada dalam kawasan rondaan JPJ dan pihaknya telah menempatkan pasukan rondaan di beberapa kawasan secara berjadual setiap hari.
“Selain polis, kami turut agresif bersama agensi kerajaan lain menjalankan rondaan dan operasi di sepanjang LPT 2 bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan maut di laluan yang dikenal pasti berisiko.
“Rondaan ini sebenarnya bermula dari LPT 1 tetapi tumpuan lebih diberikan kepada LPT 2 terutamanya di kawasan yang sering berlaku kemalangan,” jelasnya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
‎Menurut Abdul Rahman, pihak JPJ memfokuskan rondaan pada waktu pertambahan aliran trafik atau waktu yang berisiko berlaku kemalangan yang lebih tinggi seperti pagi hingga petang.
Beliau berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada kenderaan-kenderaan berat seperti lori yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang menggunakan lebuhraya tersebut.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu lori jika dikesan membawa muatan lebih termasuklah berhenti berehat di lorong kecemasan dan sebagainya.
“Menerusi kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) baru-baru ini, 85 peratus punca kemalangan di LPT 2 adalah disebabkan kecuaian pengguna,” katanya.
Justeru orang ramai yang menggunakan laluan tersebut perlu berhati-hati dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan, katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]fGUr3AuZ8Qw[/wpdevart_youtube]

