KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mengakui rancangan pembangkang untuk menolak Bajet 2016 bukan demi kepentingan rakyat, sebaliknya strategi untuk memastikan kerajaan Malaysia tidak dapat berfungsi sekali gus dapat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pakatan Harapan dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu akan memaksa Najib membentangkan bajet alternatif yang dipersetujui Pakatan Harapan atau terpaksa meletak jawatan dan memberi laluan kepada pembentukan Kabinet baharu kerana kerajaan tidak lagi berfungsi.
“Memandangkan pengundian terhadap bajet akan dilakukan pada 16 November, tempoh masa untuk membentangkan kembali bajet atau membentuk kabinet baru untuk menyediakan bajet baru adalah lebih daripada mencukupi,” tegas kenyataan itu hari ini.
Kenyatan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Whip Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul; Ketua Whip Ahli Parlimen DAP, Loke Siew Fook dan Ketua Whip Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd Samad.
Rancangan pembangkang mahu menolak Bajet 2016 akan menyebabkan situasi ‘government lock-down’ iaitu keadaan di mana kerajaan tidak dapat berfungsi.
Ia akan menyebabkan pentadbiran negara terjejas termasuk jutaan kakitangan kerajaan tidak dapat menerima gaji dan hospital tidak menerima bekalan ubat-ubatan baharu.
Senario itu akan memberi keuntungan kepada DAP, PKR dan PAN kerana menyebabkan rakyat berasa marah kepada kerajaan.
Pakatan Harapan dalam pada itu menyelar PAS kerana enggan menyertai mereka menolak Bajet 2016 dengan mendakwa PAS sebuah parti yang ‘tidak berguna’ di Parlimen.
“Sikap berkecuali tidak akan membantu dan menjadikan kehadirannya di Parlimen tidak bermakna,” dakwa mereka. – MYNEWSHUB.CC

