SELEPAS trend ‘ice bucket challenge’ yang mendapat perhatian seluruh warga netizen, kali ini tiba trend mengambil gambar selfie sebaik sahaja selepas bangun tidur untuk mengumpul dana serta kesedaran orang ramai terhadap UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Dengan menggunakan hashtag #WAKEUPCALL #UNICEF text to SYRIA 70007 (untuk menderma £5 atau RM26) atau layari laman web www.wakeupcall.org.uk di mana anda boleh mencalonkan tiga orang untuk melakukan wake up call selfie.
Antara selebriti yang terawal melakukan ‘wake up call selfie’ ini ialah supermodel Naomi Campbell, Daisy Lowe serta duta UNICEF sendiri, Jemima Khan.
Jemima memulakan kempen tersebut untuk membantu pelarian kanak-kanak Syria.
“Tujuan utama kami adalah untuk meraih dana kewangan sebanyak mungkin untuk pelarian kanak-kanak di Syria. Saya bertemu dengan mereka semua di sebuah kem pelarian di Jordan minggu lalu dan keadaan di sana memang sangat menyedihkan,” katanya.
Mungkinkah selepas ini laman Instagram anda akan dibanjiri dengan gambar-gambar orang baru bangun tidur dalam usaha mereka untuk menghangatkan lagi kempen ini? Kita tunggu dan lihat! – MYNEWSHUB
Oleh: AUDREY LEE

