MUAR – Kewujudan Pusat Maklumat Kesihatan (PMK) mampu memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap kesihatan mereka termasuk pengambilan ubat-ubatan bagi meningkatkan kualiti kehidupan terutama pesakit kronik.
Pengarah PMK, Dr. Mohd Rashidi Abdul Salam berkata sejak dibuka di Parit Keroma di sini dua tahun lalu, ia telah menarik lebih 300 pesakit seperti penghidap darah tinggi dan diabetes untuk mendapatkan khidmat pendidikan kesihatan yang mereka alami.
“Pusat ini yang seumpamanya dibuka di negara ini adalah khusus untuk memberikan kefahaman pendidikan kesihatan kepada pesakit dan pusat ini bukan sebagai pembekal ubat-ubatan.
“Jika keadaan pesakit yang datang dalam keadaan yang membimbangkan, kami akan merujuk mereka kepada Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini atau berkemampuan ke hospital swasta,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dr. Mohd Rashidi yang pernah berkhidmat di Dublin, Ireland selama 15 tahun berkata ada pesakit sebenarnya tidak faham mengenai kesihatan mereka dan di pusat itu pihaknya akan memberikan penerangan dan kaunseling sehingga mereka faham.
“Ada pesakit tidak faham kenapa perlu makan ubat mengikut jadual dan ini yang kita memberikan panduan dan nasihat agar mengikut arahan doktor perubatan,” katanya.
Pusat berkenaan yang mempunyai 29 kakitangan seperti jururawat dan ahli fisio terlatih, akan mengenakan caj minimum kepada pesakit yang mahu mendapatkan khidmat nasihat itu.
“Kami akan menilai pula tahap kemampuan kewangan pesakit dan jika mereka tidak mampu kami akan memberikan perkhidmatan secara percuma,” katanya.
Beliau berkata pusat itu juga mempunyai pasukan menangani angin ahmar dan rawatan diabetik ke rumah yang terdiri daripada seorang doktor, jururawat dan ahli fisioterapi.
Katanya melalui kerjasama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu MYHELP pihaknya akan melihat segala keperluan pesakit-pesakit itu untuk diberikan khidmat termasuk alat sokongan mereka.
“Ketika ini seramai 50 pesakit strok yang kami bantu bagi memastikan mereka akhirnya mampu berdikari dan memahami masalah yang sedang dihadapi itu,” katanya.
Menurutnya pada tahun hadapan, pihaknya bercadang untuk membuka kira-kira empat lagi cawangan pusat yang sama di Pagoh dan di beberapa negeri lagi. – BERNAMA

