KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini meningkatkan operasi pemeriksaan kebersihan di premis makanan dan tandas di stesen-stesen minyak di ibu kota berikutan peningkatan kes demam kepialu.
Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk P. Gunaseelan berkata pihak DBKL akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun kepada pemilik premis terbabit yang mengabaikan kebersihan.
“Operasi itu dibuat berikutan kes demam kepialu atau tifoid di Kuala Lumpur terus mencatatkan peningkatan kepada 37 kes setakat semalam,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan premis makanan di Pasar Sentul di sini, hari ini.
Operasi selama hampir dua jam di Pasar Sentul di sini, hari ini diketuai Gunaseelan bersama 35 pegawai penguat kuasa DBKL.
Beliau berkata operasi di premis makanan yang dijalankan pada 21 Okt sehingga semalam, merekodkan 165 premis makanan daripada lebih 400 premis yang diperiksa, diarah ditutup sementara kerana didapati tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.
Gunaseelan berkata pihaknya mengambil tindakan tegas tehadap semua pengusaha premis makanan bagi memastikan penyakit bawaan itu dapat disekat sebelum merebak.
Beliau juga telah menasihati agar peniaga meningkatkan tahap kebersihan premis makanan selain memastikan semua pengendali makanan mempunyai sijil pengendali makanan dan mendapat suntikan antitifoid.
“Selain melakukan pemeriksaan di premis makanan, penjagaan kebersihan di tandas juga perlu diberi perhatian bagi mencegah penularan penyakit itu,” katanya. – BERNAMA

