TASEK GELUGOR –
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata mangsa Muhammad Aliff Yusoff, 13, dari Lahar Yooi dipercayai pergi mandi di lombong berkenaan bersama rakan-rakannya kira-kira pukul 1 tengah hari ini.
Dipercayai mangsa terjun dari tebing lombong itu bersama tiga rakannya sebelum beliau tenggelam dan tidak timbul manakala rakan-rakanya yang panik terus naik ke tebing sebelum menghubungi polis, katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, mayat mangsa ditemui pada pukul 2.45 petang oleh pihak bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dan mayat telah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Shaari Harun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
Bapa mangsa, Yusoff Awang, 50-an ketika ditemui di HKB berkata anak kedua daripada empat beradik itu keluar dari rumah mereka kira-kira pukul 9 pagi tadi tanpa memberitahu kepada sesiapa.
“Saya hanya tahu Alif tiada di rumah selepas diberitahu adiknya dan terus keluar mencari di rumah rakan-rakannya sekitar kawasan rumah kami tapi tidak jumpa.
“Saya balik rumah minta isteri keluar mencari kerana saya hendak ke tempat kerja,” katanya.
Yusoff yang bekerja sendiri berkata isterinya keluar mencari Muhammad Alif sebelum berjaya menemui di lombong bekas kuari itu dan mengajak anaknya balik bagaimanapun mangsa enggan pulang serta berjanji akan pulang selepas mandi di situ. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]FV0QiHeaUs8[/wpdevart_youtube]

