KUALA LUMPUR – Malaysia meminta negara Islam mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani masalah Islamophobia yang dihadapi oleh dunia pada masa kini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa sama, negara Islam juga perlu meningkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam bagi membetulkan persepsi salah negara itu terhadap Islam.
Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya yang julung kali diadakan di sini, hari ini beliau berkata negara bukan Islam mempunyai persepsi salah terhadap Islam disebabkan kelakuan sebilangan kecil orang Islam.
“Perbuatan segelintir yang menyalahtafsirkan Islam telah menyebabkan Islam itu tercalar,” katanya.
Timbalan perdana menteri berkata pemahaman dan kerjasama antarabangsa untuk memahami makna ajaran Islam harus diberi perhatian agar tidak berlaku lagi salah tanggapan terhadap Islam. – BERNAMA

