JAKARTA: Indonesia akan mula mengasi kemaluan pesalah pedofilia (penjenayah yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak) secara kimia sebagai hukuman tambahan selepas hukuman penjara sebagai salah satu kaedah untuk mencegah kadar jenayah seks yang semakin meningkat, kata pendakwa raya negara republik tersebut.
“Hukuman ini akan membuatkan masyarakat berfikir seribu kali sebelum melakukan jenayah pedofilia ini,”kata Peguam Negara Muhammad Prasetyo selepas tindakan tersebut dipersetujui suara majoriti dalam sebuah mesyuarat kabinet yang dipimpin oleh Presiden Joko Widodo, Selasa.
“Jenayah ini merupakan suatu yang luar biasa dan mempunyai mangsa yang sangat ramai,”tambah Prasetyo.
Maklumat kerajaan menunjukkan bahawa kes pencabulan kanak-kanak telah meningkat daripada 2,178 kes ke 5,066 kes pada tahun 2014.
Menurut Prasetyo lagi, hukuman tersebut akan disahkan sedikit masa lagi melalui arahan presidensi, yang bermakna ia akan terus menjadi sebuah undang-undang tanpa memerlukan undi parlimen.
Hukuman kasi kemaluan tersebut akan dijalankan dengan menyuntik pesalah pedofilia itu dengan hormon wanita untuk melemahkan nafsu syahwatnya.
Dengan perlulusan undang-undang ini, Indonesia bakal menyertai  sebahagian kecil daripada negara-negara yang menggunakan pengasian kimia terhadap pesalah seks kanak-kanak, termasuk Poland dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2011, Korea Selatan menjadi negara Asia pertama yang meluluskan hukuman tersebut.
Indonesia telah digemparkan dengan beberapa siri jenayah seksual berprofil tinggi terhadap kanak-kanak. Kes terbaru membabitkan seorang mangsa kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang diculik, rogol dan bunuh.
Mayat mangsa ditemui  disumbat dalam kotak kadbod di ibu kota Jakarta awal bulan ini, dan hasil pembedahan autopsi mendedahkan bahawa kanak-kanak malang itu telah dicederakan secara seksual berulang kali.
Penderaan seksual kanak-kanak boleh dihukum dengan 15 tahun penjara di negara tersebut, namun dalam banyak kes, penjenayah pedofilia itu hanya diberikan hukuman penjara yang singkat.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Nasional Perlindungan Kanak-Kanak, Arist Merdeka Sirait, mengalu-alukan rancagan kerajaan untuk menguatkuasakan hukuman tersebut.
“Indonesia kini sedang berhadapan dengan saat-saat genting,” kata Sirait. “Jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah menunjukkan peningkatan mendadak sementara anak-anak kita tidak mendapat perlindungan yang selayaknya.”
Sumber: Agensi

