ZURICH – Jentera serangan kelab Real Madrid, Cristiano Ronaldo disahkan bakal bersaing hebat dengan tiga penyerang handalan musuh tradisinya dari Barcelona bagi merebut anugerah berprestij, Ballon d’Or 2015.
Malahan buat julung kali enam pemain dari dua pasukan elit Sepanyol itu disertakan dalam senarai akhir 23 pemain dipilih badan induk bola sepak dunia, FIFA bagi merebut anugerah tersebut yang diterbitkan pada Selasa.
Ronaldo yang mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak Real Madrid setelah menjaringkan golnya ke-324 pada Sabtu lalu, akan cuba memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Bintang kelahiran Portugal yang berusia 30 tahun itu bagaimanapun akan menghadapi saingan daripada dua rakan sepasukannya sendiri seperti Karim Benzema dari Perancis dan pemain sayap Wales, Gareth Bale.
Turut memberi persaingan sengit ialah pemenang empat kali, Lionel Messi dan rakan sepasukannya dari Barcelona, iaitu Neymar dan Luis Suarez. Tiga penyerang itu menyumbang sejumlah 122 gol pada musim lalu.
Barcelona yang menjulang La Liga, Liga Juara Eropah dan Piala Raja Sepanyol pada tahun lalu, mengemukakan calon paling ramai dalam senarai tersebut, menurut laporan oleh agensi berita antarabangsa AFP.
Barca turut membariskan pemain midfield Sepanyol, Andres Iniesta, Javier Mascherano dan Ivan Rakitic. Pemain Real Madrid yang turut tersenarai ialah James Rodriguez dan pemenang Piala Dunia, Toni Kroos.
Juara Bundesliga, Bayern Munich dari Jerman pula akan diwakili oleh lima pemain hebat mereka iaitu Robert Lewandowski, Thomas Mueller, Arjen Robben, Arturo Vidal dan penjaga gawangnya, Manuel Neuer.
Selain Vidal, rakan senegaranya dari Chile, Alexis Sanchez turut disenaraikan oleh FIFA selepas mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang dalam kejohanan benua, Copa America 2015 pada Julai lalu.
Pemain midfield Manchester City dari England, Yaya Toure, dan juga pemenang sebanyak empat kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika merupakan satu-satunya calon yang bukan dari benua Eropah atau Amerika Selatan.
Senarai itu dibentangkan oleh jawatankuasa khas FIFA dan sekumpulan pakar dari Perancis. Pemenang anugerah Ballon d’Or 2015 akan diumumkan di Zurich, Switzerland pada 11 Januari 2016. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Senarai Calon:
Sergio Aguero (Argentina/Manchester City)
Gareth Bale (Wales/Real Madrid)
Karim Benzema (Perancis/Real Madrid)
Cristiano Ronaldo (Portugal/Real Madrid)
Kevin De Bruyne (Belgium/Manchester City)
Eden Hazard (Belgium/Chelsea)
Zlatan Ibrahimovic (Sweden/Paris Saint-Germain)
Andres Iniesta (Sepanyol/Barcelona)
Toni Kroos (Jerman/Real Madrid)
Robert Lewandowski (Poland/Bayern Munich)
Javier Mascherano (Argentina/Barcelona)
Lionel Messi (Argentina/Barcelona)
Thomas Mueller (Jerman/Bayern Munich)
Manuel Neuer (Jerman/Bayern Munich)
Neymar (Brazil/Barcelona)
Paul Pogba (Perancis/Juventus)
Ivan Rakitic (Croatia/Barcelona)
Arjen Robben (Belanda/Bayern Munich)
James RodrÃÂguez (Colombia/Real Madrid)
Alexis Sanchez (Chile/Arsenal)
Luis Suarez (Uruguay/FC Barcelona)
Yaya Toure (Ivory Coast/Manchester City)
Arturo Vidal (Chile/Bayern Munich).

