“TOLONGLAH potong kaki saya,” itu rayuan seorang lelaki yang tidak mampu lagi menanggung kesakitan selepas tapak kakinya membengkak hingga saiz 16, akibat penyakit genetik yang amat jarang ditemui.
Jeffrey Ortega, 26, menghidap sindrom Proteus, yang menyebabkan kakinya membesar dua kali ganda dari saiz biasa.
Ia turut memberikan kesan terhadap tangan dan pinggangnya. Ortega percaya hanya dengan memotong kakinya dapat menghentikan kesakitan yang dialami dan pembesaran berkenaan.
Ortega yang berasal dari Florida, menderita penyakit berkenaan sejak bayi lagi.
“Ibu saya menyedari jari kaki saya bengkak ketika saya berusia sembilan bulan dan kerana dia menyangka ia disebabkan gigitan nyamuk, dia hanya menyapu ubat.
“Apabila saya berusia setahun, bapa saya menyedari bahawa kaki kiri saya lebih panjang berbanding sebelah lagi kaki,” kata Ortega yang tidak lagi boleh memakai kasut biasa ketika berusia 11 tahun sebaliknya terpaksa menempah kasut sendiri.
Akibat keadaan kakinya itu, Ortega telah diejek di sekolah dan mereka turut meludah kakinya.
Ketika remaja, dia terpaksa memakai kasut khas dan terpaksa membenarkan Institut Kesihatan Kebangsaan menjalankan kajian terhadapnya bagi mengetahui sindrom Proteus.
Selepas kakinya gagal sembuh melalui pembedahan yang dijalankan, Ortega memutuskan untuk memotong kakinya dan itu pilihan terbaik yang ada. – MYNEWSHUB.CC
