BARU mencipta nama dalam industri hiburan, pelakon kelahiran Singapura Atikah Suhaime nampaknya sudah berani bersuara lantang apabila bertindak menyindir pihak media menerusi laman Instagramnya tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang wartawan, baru-baru ini.
https://instagram.com/p/8cDulcxKHS/?taken-by=atikahsuhaime
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo meluahkan rasa kesal dengan sikap Atikah yang disifatkan seolah-olah lupa asal usul selain belum matang dalam menjawab kontroversi.
“Pada saya kenyataan dibuat Atikah menerusi Instagram berhubung isu dengan pihak media itu adalah kerana dia tidak mempunyai pengalaman dan tidak matang.
“Dia seharusnya lebih rasional dalam menghadapi sesuatu isu tetapi mungkin juga perkara itu berlaku kerana MIG belum cukup mendidiknya.
“Saya akan ‘ajar’ dia kerana MIG tidak pernah mengajar artis-artis kami bersikap sedemikian,” kata David kepada mStar Online.
Tambah David, Atikah yang merupakan salah seorang artis naungan syarikatnya sepatutnya bersikap rendah diri, bersyukur selain bersopan dalam tutur kata sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial.
Difahamkan, bintang drama ‘Bila Hati Berbicara’ itu berbuat demikian susulan cerita kontroversi mengenai satu video lucah yang dikaitkan dengannya.
Dalam perkembangan lain, David akan berbincang dengan Atikah berhubung kontroversi video lucah tersebut bagi mendapatkan cerita sebenar.
Selain itu, David juga yakin tuduhan mengatakan Atikah terlibat dalam sebuah video lucah adalah palsu kerana tiada sebarang bukti. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online


