KOTA BHARU – Penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada rakyat akan diperhebatkan dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan pelbagai golongan termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), usahawan dan wakil-wakil kerajaan negeri.
“Mungkin mereka yang menentang kerana tidak faham berkaitan TPPA,” katanya selepas memberi penerangan mengenai TPPA kepada kira-kira 1,000 orang termasuk pegawai kerajaan, pemimpin NGO dan usahawan negeri ini di sini hari ini.
Mustapa berkata, selain penerangan bersemuka, pihaknya juga ada menyediakan penerangan mengenai TPPA melalui portal kementeriannya. “Kita bertanggungjawab dan yang penting kita hendak telus, nak dedah semua, hendak beritahu, ini penting untuk masa depan kita,” katanya.
Selain beberapa tokoh tertentu yang arif mengenai TPPA, Mustapa berkata beliau sendiri akan memberi penerangan kerana beliau terbabit secara langsung dan faham terutama dalam soal teknikal mengenai perjanjian itu. Menurut laporan, menteri-menteri perdagangan Pasifik merumuskan rundingan bagi TPPA baru-baru ini.
Pihak terbabit adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. Di KUALA LUMPUR, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata, orang ramai perlu mengetahui lebih mendalam tentang TPPA terlebih dulu sebelum ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
“Saya faham mengenai kebimbangan orang ramai mengenai TPPA, ramai yang berpendapat ia akan memberi kesan kepada kos perubatan, kos perniagaan dan sebagainya,” katanya pada sidang media hari ini.
Namun, Mah berkata semua pihak harus melihat faedah jangka panjang yang mampu diraih Malaysia menerusi TPPA. Beliau sekali gus menyokong kenyataan Mustapa berhubung keperluan mengadakan sesi penerangan TPPA kepada orang ramai. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]fhd2ElTZv9A[/wpdevart_youtube]