KEMAMAN – Seorang wanita kurang upaya maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 273.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini hari ini.
Kejadian pukul 9.15 pagi itu menyebabkan Nor Azean Mohd Sari, 26, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Mangsa yang menghadapi kecatatan fizikal di kakinya baru sahaja setahun bekerja di sebuah syarikat tekomunikasi di ibu negara dikatakan memandu seorang diri dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian kenderaan yang dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di kiri jalan sebelum berpusing beberapa kali menyebabkannya tercampak ke tengah jalan.
Menurut bapa saudara mangsa, Azhar Ngah, 45, dia menerima panggilan berkenaan kejadian yang menimpa anak saudaranya itu pada pukul 9.30 pagi tadi.
Azhar berkata dia menerima panggilan daripada seorang pengguna lebuhraya yang menggunakan telefon bimbit anak saudaranya itu bagi memaklumkan berkenaan kejadian tersebut.
“Memang terkejut bila dengar suara orang lain dalam telefon, mulanya saya ingat kereta dia rosak namun selepas itu dimaklumkan anak saudara saya telah meninggal,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohamad Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=fDSqkQ-9UTA

