FENOMENA peranti pintar BlackBerry pernah menjadi kemuncak pada 2008 di mana pada tahun tersebut, jenama Blackberry menjadi telefon bimbit kegemaran buat majoriti rakyat Malaysia.
Kami masih lagi menyimpan model Blackberry Bold 9790 kerana masih tidak boleh melupakan memori kenangan pahit manis cinta monyet di zaman permesejan BBM.
Arus populariti Blackberry mungkin tidak segah 2008 namun perkembangan dari mereka adalah sangat positif di mana pada tahun lepas, mereka telah memperkenalkan dua peranti baru iaitu Blackberry Passport dan BlackBerry dan Blackberry Classic.
Kini, usaha terbaru dari mereka bagi memperkukuhkan lagi kedudukan pasaran peranti pintar ialah dengan membangunkan sebuah peranti pintar baru yang berasaskan sistem operasi Android.
CEO BlackBerry sendiri telah memperlihatkannya kepada beberapa media di Kanada, dan baru-baru ini, BlackBerry secara rasminya menerbitkan gambar awal untuk peranti yang bakal hadir ini.
Melalui gambar yang diperlihatkan, BlackBerry dilihat memfokuskan kepada penggunaan papan kekunci fizikal mereka, yang mana boleh diluncurkan dan disembunyikan.
Papan kekunci ini turut boleh berfungsi sebagai trackpad ketika melayari web, membaca dokumen dan beberapa aplikasi lain.
BlackBerry mengatakan mereka akan berkongsi lebih lanjut mengenai peranti ini dalam minggu-minggu akan datang. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzqahmd
Sumber: BlackBerry
https://www.youtube.com/watch?v=rPT7k4ypybc

