KUANTAN – Generasi muda atau Generasi Y diingatkan supaya tidak terlalu emosi dan mempercayai sepenuhnya maklumat tidak tepat mengenai dasar kerajaan di laman sosial hingga menghakis jati diri, semangat patriotik dan cintakan negara.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr Rosli Yunus ketika memberikan peringatan itu berkata generasi Y memainkan peranan besar untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran negara, bukannya sekadar menjadi penerima impak atau penentang dasar-dasar kerajaan.
“Harus ingat bahawa apa sahaja yang telah dilakukan oleh kepimpinan dahulu atau kini adalah bertujuan supaya kita mempunyai perasaan sayang kepada negara … agar negara terus makmur dan harmoni sepanjang masa.
“Janganlah kerana mengikut emosi dan nafsu muda, nikmat kemerdekaan dan keharmonian negara kita jadikan gadaian,” katanya semasa berucap merasmikan Program Apa Kata Gen-Y anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama UMP di Dewan Astaka UMP di sini, Rabu.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan generasi Y masih lagi dijajah dari segi pemikiran sama ada secara sedar atau tidak.
“Apa sahaja yang berkaitan dengan negara barat akan menjadi sanjungan dan ikutan seperti aspek pakaian, pergaulan, tata kelakuan atau penggunaan bahasa,” katanya.
Katanya oleh itu adalah penting untuk golongan muda mempunyai benteng diri yang kuat bagi menangkis unsur luar itu kerana mereka berperanan menentukan hala tuju pembangunan, politik dan ekonomi negara di masa hadapan. – BERNAMA


